Wednesday 31 August 2011

Tanah Runtuh

Soalan:Fahami petikan di bawah ini, dan kemudian rumuskan petikan ini dengan padat dan ringkas tanpa menjejaskan isi kandungannya.Rumusan hendaklah dibuat tidak lebih daripada tiga perenggan dan panjangnya 180 hingga 190 patah perkataan.Jumlah perkataan dalam jawapan hendaklah ditulis pada akhir jawapan.

Sejak akhir-akhir ini,masalah tanah runtuh semakin kerap berlaku seiring dengan kepesatan pembangunan di Malaysia. Pada 11 Oktober 2004 , kejadian tanah runtuh membabitkan Lebuh Raya Utara –Selatan berhampiran dengan Gua Tempurung di Perak telah berlaku. Lazimnya ,setelah malapetaka seperti ini terjadi tuduh-menuduh akan berlaku dan pihak yang menerima kesannya ialah orang ramai yang terpaksa mempertaruhkan nyawa setiap kali melalui kawasan yang berpotensi berlakunya tanah runtuh.

Daripada tinjauan yang dibuat , kebanyakan kejadian tanah runtuh berlaku di kawasan yang dieksploitasi untuk aktiviti pembangunan seperti pembinaan bangunan dan jalan raya , pembukaan tapak pertanian dan pembalakan di tanah tinggi. Sehubungan dengan hal itu, pelbagai panduan ,akta, dan undang-undang berkaitan alam sekitar digubal untuk memelihara alam sekitar daripada musnah namun,banyak pihak yang menganggap bahawa undang-undang tersebut sudah ketinggalan zaman.Hal ini demikian kerana Enekmen Air 1920 dan Enekmen Perlombongan 1929 misalnya, masih lagi diguna pakai dengan terma dan syarat yang tidak berubah. Walaupun sudah dipinda pada tahun 1985, kebanyakan isi kandungannya tidak relevan pada masa sekarang.Perkara ini ternyata apabila denda yang dikenakan kepada ‘penyangak’ alam sekitar sangat rendah , menyebabkan mereka tidak takut menjalankan aktiviti di kawasan tanah tinggi sewenang-wenangnya.

Selain itu, kurangnya pemantauan oleh agensi yang dipertanggungjawabkan menyebabkan kejadian tanah runtuh sukar dikawal.Keadaan ini belum lagi melibatkan masalah lain seperti kekurangan kakitangan penguat kuasa, kurang kepakaran dan tiada koordinasi antara agensi yang terlibat.Kerajaan menubuhkan Majlis Kualiti Alam Sekeliling (MKAS) untuk mengkoordinasi semua agensi serta merangka program bagi meningkatkan kualiti alam sekitar.Namun, keahlian melibatkan perwakilan terlalu banyak dan tidak efisien lebih-lebih lagi hanya satu pihak yang terlibat, iaitu wakil agensi kerajaan tanpa penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Hal ini belum lagi melibatkan pembangunan tanah tinggi yang memerlukan keperluan Penilaian Impak Sekitar(EIA).Sering kali pemaju tidak melaksanakan cadangan yang telah dikemukakan oleh EIA dengan melakukan pembangunan dengan sewenag-wenangnya.Akibatnya, orang ramai tidak mempercayai kredibiliti Jabatan Alam Sekitar(JAS) yang dipertanggungjawabkan menjaga alam sekitar.

Sudah tiba masanya undang-undang alam sekitar digubal dengan lebih terperinci.Keseragaman undang-undang perlu di peringkat peringkat kerajaan pusat dan kerajaan negeri terutama dalam hal penguatkuasaan.Kerajaan negeri tidak boleh sesuka hati menggubal peraturan sendiri sehingga memberi implikasi kepada JAS yang diamanahkan untuk menguatkuasakan undang-undang alam sekitar.

Sehubungan dengan hal itu, pendidikan berterusan tentang kepentingan alam sekitar di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi serta kesedaran masyarakat tentang kepentingan menjaga alam sekitar mestilah dijadikan tunjang dalam melaksanakan projek kerajaan.Kerajaan juga seharusnya mengorak langkah untuk meneroka teknologi baharu yang berkaitan denagn pemantauan bagi memberikan amaran awal kemungkinan kejadian tanah runtuh.Hal ini dapat dilakukan dengan bantuan teknologi deriaan jauh dan imejan setelit yang dapat memberikan petunjuk awal kejadian tersebut.

Dengan “pakej” yang sedia ada ditambah dengan pengetahuan dan tahap kesedaran yang tinggi dalam kalangan masyarakat ,kemungkinan bencana alam seperti tanah runtuh dapat dikurangkan.Semua pihak harus mematuhi undang-undang dan peraturan alam sekitar agar keharmonian dan keseimbangan alam sekitar terjamin.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Dewan Masyarakat,Februari 2005)

No comments:

Post a Comment