Wednesday 31 August 2011

Variasi Bahasa

Variasi Bahasa

Berikut adalah beberapa istilah yang mewujudkan variasi atau kepelbagaian bahasa Melayu.

Variasi bahasa

Kepelbahagaian bahasa yang ditentukan oleh faktor teknikal bahasa iaitu sebutan, kosa kata dan tatabahasa.

Dialek

Merupakan variasi bahasa apabila variasi bahasa itu masih difahami oleh pengguna dalam sesuatu masyarakat bahasa walaupun ada pembahagian geografi . Variasi bahasa ini dikenali sebagai dialek.

Idiolek

Variasi bahasa yang khusus berkaitan dengan individu.

Merupakan kelainan penggunaan bahasa pada peringkat individu.

Perbezaan paling ketara ialah dari segi sebutan dan lagu sebutan.

Keadaan ini berlaku kerana perbezaan alat sebutan seperti kecacatan atau tabiat penyebutan kerana pengaruh rakan atau seisi keluarga.

Dialek kawasan/ dialek daerah

Variasi bahasa yang berkaitan dengan pengguna dalam sesuatu kawasan. Istilah lain ialah loghat daerah.

Dikaitkan dengan rumpun bahasa Austronesia, cabang Nusantara. Cabang Nusantara mempunyai 200 hingga 300 bahasa dalam 16 golongan seperti Sumatera, Jawa, Kalimantan, Bali-Sasak, Filipina dan sebagainya.

Bahasa Melayu termasuk dalam golongan Sumatera bersama dengan bahasa Batak, Acheh, Minangkabau, Nias, Lampung dan Orang Laut.

Umumnya bahasa Melayu merangkumi Bahasa Melayu di Malaysia, Bahasa Indonesia di Indonesia, Bahasa Melayu di Brunei dan Singapura.

Antara dialek di Malaysia ialah dialek Utara, dialek Selatan, dialek Kelantan, dan dialek Perak.

Dialek sosial

Dikaitkan dari segi penggunaan, iaitu bahasa mungkin berbeza mengikut kumpulan sosial dan situasi yang digunakan. Misalnya, dalam majlis rasmi, orang akan menggunakan bahasa-bahasa yang formal.

Oleh itu, bahasa Melayu secara umumnya dapat dibahagikan kepada tiga jenis variasi, iaitu idiolek, dialek kawasan atau dialek daerah, dan dialek sosial

Pengunaan bahasa dapat dibahagikan kepada bahasa formal dan tak formal.

Contoh bahasa formal - Bahasa Baku dan Bahasa Diraja atau Bahasa Istana.

Contoh bahasa tak formal - Bahasa mesra, bahasa slanga, bahasa basahan, bahasa pasar, bahasa halus, bahasa kasar, bahasa dialek dan sebagainya.

Bahasa formal dan bahasa tak formal dapat dibezakan dengan membandingkan ragam bahasa bebas dan bahasa terkawal, dan ragam bahasa mesra dan bahasa formal.

Ragam Bahasa Bebas dan Bahasa Terkawal

Ragam Bahasa Bebas

Bahasa Terkawal

Ayat yang tidak gramatis.

Tidak mementingkan aspek sebutan, intonasi, pilihan perkataan, struktur ayat, dan tatabahasa.

Contoh: You ni betullah degil sangat. I dah warning you banyak kali, tapi you masih hendak ke tempat tu.

Ayat yang gramatis

Mementingkan aspek-aspek sebutanm intonasi, pilihan perkataan, struktur ayat dan tatabahasa.

Contoh: Awak sangat degil. Saya telah berkali-kali memberi amaran supaya jangan pergi ke tempat itu, tetapi awak masih hendak ke sana.

Bahasa Slanga

Bahasa yang dituturkan oleh sekumpulan penutur tertentu seperti golongan remaja.

Bahasa tidak rasmi, tidak baku dan bersifat musiman (tidak kekal)

Dikenali sebagai bahasa kutu atau bahasa rocker dalam kalangan remaja

Dianggap lebih rendah tarafnya daripada bahasa standard.

Kosa kata yang digunakan mempunyai makna tersendiri dan hanya difahami oleh sekumpulan remaja.

Contoh bahasa slanga brader, pakwe, mengancam, sekeh, sempoi, sengal, kantoi, hampeh,cintan, balak, bro, poyo, tangkap leleh, cun dan lain-lain lagi.

Bahasa Basahan

Juga disebut sebagai bahasa kolokial.

Za'aba menggelar bahasa ini sebagai bahasa cakap mulut.

Merupakan bahasa pertuturan harian dalam konteks tidak rasmi.

Terdapat tiga jenis perbezaan antara bahasa baku dengan bahasa basahan, iaitu:

(a) perkataan berbeza untuk makna yang serupa

Bahasa Baku

Bahasa Basahan

Mengapa

kenapa

Bagaimana

macam mana

Sedang

tengah

(b) bentuk kependekan

Bahasa Baku

Bahasa Basahan

Hendak

Nak

Tidak

Tak

Sudah

Dah

(c) perubahan bunyi

Bahasa Baku

Bahasa Basahan

Ambil

ambik

Kecil

kecik

Pula

pulak

Bahasa Pasar

Bahasa kacukan antara bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa bukan Melayu

Pelat penyebutan dipengaruhi oleh pelat bahasa ibunda penutur.

Dikaitkan dengan bahasa pijin (variasi bahasa yang dipermudahkan untuk proses komunikasi)

Ciri-ciri:

a) Tidak gramatis dengan mengabaikan hukum DM dan penggunaan penjodoh bilangan.

Contoh: orang ini disebut ini orang

Orang itu ada sebuah rumah banglo disebut itu orang ada satu rumah banglo

b) Perbendaharaan kata termasuk kata ganti nama banyak dipengaruhi oleh bahasa ibunda masing-masing.

Contoh: gua (saya), lu (awak)

c) Penyebutan perkataan dipengaruhi oleh pelat bahasa ibunda penutur.

Contoh : olang (orang), sulat (surat), tatak (tiada)

d) Penggunaan perkataan punya dan menjadikan banyak sebagai kata penguat.

Contoh: banyak cantik.

dia punya barang, apa punya budak.

Bahasa Halus

Bahasa halus wujud kerana pertimbangan terhadap orang yang dilawan bertutur. Kedudukan, pangkat, umur dan keakraban orang yang dilawan bertutur mempengaruhi pemilihan perkataan dan kata ganti nama.

Bahasa halus juga ada kalanya digunakan dalam surat menyurat apabila kata-kata yang bersopan digunakan.

Kata ganti nama diri merupakan ciri-ciri yang penting, seperti penggunaan anakanda, ayahanda, adinda, kekanda, bonda dan nenda.

Bahasa kiasan dan peribahasa digunakan dengan meluas untuk menyatakan sesuatu secara halus atau tidak berterus terang.

Contoh: Buang air besar, berbulan madu, berbadan dua.

Berikut diturunkan beberapa contoh:

Bahasa Basahan

Bahasa Halus

Kencing

Buang air kecil

Berak

Buang air besar

mengandung/bunting

Berbadan dua

Kubur

Makam

Bahasa Kasar

Bahasa yang dhamburkan dengan mengikut perasaan. Kata-kata kesat ialah contoh bahasa kasar seperti bangang, bodoh, tak berotak dan sebagainya.

Ada pihak yang mengatakan perkataan jantan dan betina, jika ditujukan kepada manusia juga tergolong dalam bahasa kasar.

Bagaimanapun, kesannya kepada orang lain adalah subjektif, kerana adakalanya bahasa yang dianggap kasar di kawasan tertentu dianggap gurauan atau bahasa cakap mulut di kawasan yang lain. Misalnya perkataan celaka dianggap kesat di Selangor, tetapi dianggap biasa di Melaka.

Bahasa Kasar

Bahasa Halus/Kiasan Pemanis

membuta

Tidur

Mampus

Menghembuskan nafas yang terakhir

Bunting

Berbadan dua

bini

Isteri

Muntah kedarah

Makan

Ciri-ciri Bahasa Halus dan Bahasa Kasar

Bahasa

Bahasa Halus

Diucapkan dengan nada suara yang lembut dan rendah

Penggunaan kata kasar dan kesat yang kurang menyenangkan pendengarnya

Pemilihan diksi memperlihat kan unsur kesopanan

Menggunakan kata sindiran

Menggunakan tatabahasa yang sempurna

Menggunakan kata ganti nama diri yang kurang sopan

Menggunakan kata ganti nama diri yang sopan

Tidak menggunakan peraturan nahu yang lengkap

Menggunakan peribahasa atau kiasan

Penggunaan dalam emosi negatig

Dialek

Variasi daripada sesuatu bahasa tertentu dan dituturkan oleh sekumpulan masyarakat bahasa tersebut.

Dialek ditentukan oleh faktor geografi dan sosial.

Dialek berbeza dari segi:

a. Sebutan

Contoh: Perkataan `air' disebut dalam pelbagai dialek seperti ayaq, ayo.

b Gaya lagu bahasa

Contoh: Dialek Perak biasanya mempunyai sebutan yang lebih laju daripada Negeri Sembilan.

c. Tatabahasa

Contoh: penggunaaan imbuhan per- dan -kan.

perbesar (dialek Kedah) dan besarkan (dialek Johor).

(d) Kosa kata

Contoh: bewoh (dialek Kelantan bermaksud kenduri)

(e) kata ganti diri

Contoh ambo (dialek Kelantan bermaksud saya)

Hang (dialek utara bermaksud kamu)

Tanah Runtuh

Soalan:Fahami petikan di bawah ini, dan kemudian rumuskan petikan ini dengan padat dan ringkas tanpa menjejaskan isi kandungannya.Rumusan hendaklah dibuat tidak lebih daripada tiga perenggan dan panjangnya 180 hingga 190 patah perkataan.Jumlah perkataan dalam jawapan hendaklah ditulis pada akhir jawapan.

Sejak akhir-akhir ini,masalah tanah runtuh semakin kerap berlaku seiring dengan kepesatan pembangunan di Malaysia. Pada 11 Oktober 2004 , kejadian tanah runtuh membabitkan Lebuh Raya Utara –Selatan berhampiran dengan Gua Tempurung di Perak telah berlaku. Lazimnya ,setelah malapetaka seperti ini terjadi tuduh-menuduh akan berlaku dan pihak yang menerima kesannya ialah orang ramai yang terpaksa mempertaruhkan nyawa setiap kali melalui kawasan yang berpotensi berlakunya tanah runtuh.

Daripada tinjauan yang dibuat , kebanyakan kejadian tanah runtuh berlaku di kawasan yang dieksploitasi untuk aktiviti pembangunan seperti pembinaan bangunan dan jalan raya , pembukaan tapak pertanian dan pembalakan di tanah tinggi. Sehubungan dengan hal itu, pelbagai panduan ,akta, dan undang-undang berkaitan alam sekitar digubal untuk memelihara alam sekitar daripada musnah namun,banyak pihak yang menganggap bahawa undang-undang tersebut sudah ketinggalan zaman.Hal ini demikian kerana Enekmen Air 1920 dan Enekmen Perlombongan 1929 misalnya, masih lagi diguna pakai dengan terma dan syarat yang tidak berubah. Walaupun sudah dipinda pada tahun 1985, kebanyakan isi kandungannya tidak relevan pada masa sekarang.Perkara ini ternyata apabila denda yang dikenakan kepada ‘penyangak’ alam sekitar sangat rendah , menyebabkan mereka tidak takut menjalankan aktiviti di kawasan tanah tinggi sewenang-wenangnya.

Selain itu, kurangnya pemantauan oleh agensi yang dipertanggungjawabkan menyebabkan kejadian tanah runtuh sukar dikawal.Keadaan ini belum lagi melibatkan masalah lain seperti kekurangan kakitangan penguat kuasa, kurang kepakaran dan tiada koordinasi antara agensi yang terlibat.Kerajaan menubuhkan Majlis Kualiti Alam Sekeliling (MKAS) untuk mengkoordinasi semua agensi serta merangka program bagi meningkatkan kualiti alam sekitar.Namun, keahlian melibatkan perwakilan terlalu banyak dan tidak efisien lebih-lebih lagi hanya satu pihak yang terlibat, iaitu wakil agensi kerajaan tanpa penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Hal ini belum lagi melibatkan pembangunan tanah tinggi yang memerlukan keperluan Penilaian Impak Sekitar(EIA).Sering kali pemaju tidak melaksanakan cadangan yang telah dikemukakan oleh EIA dengan melakukan pembangunan dengan sewenag-wenangnya.Akibatnya, orang ramai tidak mempercayai kredibiliti Jabatan Alam Sekitar(JAS) yang dipertanggungjawabkan menjaga alam sekitar.

Sudah tiba masanya undang-undang alam sekitar digubal dengan lebih terperinci.Keseragaman undang-undang perlu di peringkat peringkat kerajaan pusat dan kerajaan negeri terutama dalam hal penguatkuasaan.Kerajaan negeri tidak boleh sesuka hati menggubal peraturan sendiri sehingga memberi implikasi kepada JAS yang diamanahkan untuk menguatkuasakan undang-undang alam sekitar.

Sehubungan dengan hal itu, pendidikan berterusan tentang kepentingan alam sekitar di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi serta kesedaran masyarakat tentang kepentingan menjaga alam sekitar mestilah dijadikan tunjang dalam melaksanakan projek kerajaan.Kerajaan juga seharusnya mengorak langkah untuk meneroka teknologi baharu yang berkaitan denagn pemantauan bagi memberikan amaran awal kemungkinan kejadian tanah runtuh.Hal ini dapat dilakukan dengan bantuan teknologi deriaan jauh dan imejan setelit yang dapat memberikan petunjuk awal kejadian tersebut.

Dengan “pakej” yang sedia ada ditambah dengan pengetahuan dan tahap kesedaran yang tinggi dalam kalangan masyarakat ,kemungkinan bencana alam seperti tanah runtuh dapat dikurangkan.Semua pihak harus mematuhi undang-undang dan peraturan alam sekitar agar keharmonian dan keseimbangan alam sekitar terjamin.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Dewan Masyarakat,Februari 2005)