Variasi Bahasa
Berikut adalah beberapa istilah yang mewujudkan variasi atau kepelbagaian bahasa Melayu.
Variasi bahasa | Kepelbahagaian bahasa yang ditentukan oleh faktor teknikal bahasa iaitu sebutan, kosa kata dan tatabahasa. |
Dialek | Merupakan variasi bahasa apabila variasi bahasa itu masih difahami oleh pengguna dalam sesuatu masyarakat bahasa walaupun ada pembahagian geografi . Variasi bahasa ini dikenali sebagai dialek. |
Idiolek | Variasi bahasa yang khusus berkaitan dengan individu. Merupakan kelainan penggunaan bahasa pada peringkat individu. Perbezaan paling ketara ialah dari segi sebutan dan lagu sebutan. Keadaan ini berlaku kerana perbezaan alat sebutan seperti kecacatan atau tabiat penyebutan kerana pengaruh rakan atau seisi keluarga. |
Dialek kawasan/ dialek daerah | Variasi bahasa yang berkaitan dengan pengguna dalam sesuatu kawasan. Istilah lain ialah loghat daerah. Dikaitkan dengan rumpun bahasa Austronesia, cabang Nusantara. Cabang Nusantara mempunyai 200 hingga 300 bahasa dalam 16 golongan seperti Sumatera, Jawa, Kalimantan, Bali-Sasak, Filipina dan sebagainya. Bahasa Melayu termasuk dalam golongan Sumatera bersama dengan bahasa Batak, Acheh, Minangkabau, Nias, Lampung dan Orang Laut. Umumnya bahasa Melayu merangkumi Bahasa Melayu di Malaysia, Bahasa Indonesia di Indonesia, Bahasa Melayu di Brunei dan Singapura. Antara dialek di Malaysia ialah dialek Utara, dialek Selatan, dialek Kelantan, dan dialek Perak. |
Dialek sosial | Dikaitkan dari segi penggunaan, iaitu bahasa mungkin berbeza mengikut kumpulan sosial dan situasi yang digunakan. Misalnya, dalam majlis rasmi, orang akan menggunakan bahasa-bahasa yang formal. |
Oleh itu, bahasa Melayu secara umumnya dapat dibahagikan kepada tiga jenis variasi, iaitu idiolek, dialek kawasan atau dialek daerah, dan dialek sosial
Pengunaan bahasa dapat dibahagikan kepada bahasa formal dan tak formal.
Contoh bahasa formal - Bahasa Baku dan Bahasa Diraja atau Bahasa Istana.
Contoh bahasa tak formal - Bahasa mesra, bahasa slanga, bahasa basahan, bahasa pasar, bahasa halus, bahasa kasar, bahasa dialek dan sebagainya.
Bahasa formal dan bahasa tak formal dapat dibezakan dengan membandingkan ragam bahasa bebas dan bahasa terkawal, dan ragam bahasa mesra dan bahasa formal.
Ragam Bahasa Bebas dan Bahasa Terkawal
Ragam Bahasa Bebas | Bahasa Terkawal |
Ayat yang tidak gramatis. Tidak mementingkan aspek sebutan, intonasi, pilihan perkataan, struktur ayat, dan tatabahasa. Contoh: You ni betullah degil sangat. I dah warning you banyak kali, tapi you masih hendak ke tempat tu. | Ayat yang gramatis Mementingkan aspek-aspek sebutanm intonasi, pilihan perkataan, struktur ayat dan tatabahasa. Contoh: Awak sangat degil. Saya telah berkali-kali memberi amaran supaya jangan pergi ke tempat itu, tetapi awak masih hendak ke sana. |
Bahasa Slanga
Bahasa yang dituturkan oleh sekumpulan penutur tertentu seperti golongan remaja.
Bahasa tidak rasmi, tidak baku dan bersifat musiman (tidak kekal)
Dikenali sebagai bahasa kutu atau bahasa rocker dalam kalangan remaja
Dianggap lebih rendah tarafnya daripada bahasa standard.
Kosa kata yang digunakan mempunyai makna tersendiri dan hanya difahami oleh sekumpulan remaja.
Contoh bahasa slanga brader, pakwe, mengancam, sekeh, sempoi, sengal, kantoi, hampeh,cintan, balak, bro, poyo, tangkap leleh, cun dan lain-lain lagi.
Bahasa Basahan
Juga disebut sebagai bahasa kolokial.
Za'aba menggelar bahasa ini sebagai bahasa cakap mulut.
Merupakan bahasa pertuturan harian dalam konteks tidak rasmi.
Terdapat tiga jenis perbezaan antara bahasa baku dengan bahasa basahan, iaitu:
(a) perkataan berbeza untuk makna yang serupa
Bahasa Baku | Bahasa Basahan |
Mengapa | kenapa |
Bagaimana | macam mana |
Sedang | tengah |
(b) bentuk kependekan
Bahasa Baku | Bahasa Basahan |
Hendak | Nak |
Tidak | Tak |
Sudah | Dah |
(c) perubahan bunyi
Bahasa Baku | Bahasa Basahan |
Ambil | ambik |
Kecil | kecik |
Pula | pulak |
Bahasa Pasar
Bahasa kacukan antara bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa bukan Melayu
Pelat penyebutan dipengaruhi oleh pelat bahasa ibunda penutur.
Dikaitkan dengan bahasa pijin (variasi bahasa yang dipermudahkan untuk proses komunikasi)
Ciri-ciri:
a) Tidak gramatis dengan mengabaikan hukum DM dan penggunaan penjodoh bilangan.
Contoh: orang ini disebut ini orang
Orang itu ada sebuah rumah banglo disebut itu orang ada satu rumah banglo
b) Perbendaharaan kata termasuk kata ganti nama banyak dipengaruhi oleh bahasa ibunda masing-masing.
Contoh: gua (saya), lu (awak)
c) Penyebutan perkataan dipengaruhi oleh pelat bahasa ibunda penutur.
Contoh : olang (orang), sulat (surat), tatak (tiada)
d) Penggunaan perkataan punya dan menjadikan banyak sebagai kata penguat.
Contoh: banyak cantik.
dia punya barang, apa punya budak.
Bahasa Halus
Bahasa halus wujud kerana pertimbangan terhadap orang yang dilawan bertutur. Kedudukan, pangkat, umur dan keakraban orang yang dilawan bertutur mempengaruhi pemilihan perkataan dan kata ganti nama.
Bahasa halus juga ada kalanya digunakan dalam surat menyurat apabila kata-kata yang bersopan digunakan.
Kata ganti nama diri merupakan ciri-ciri yang penting, seperti penggunaan anakanda, ayahanda, adinda, kekanda, bonda dan nenda.
Bahasa kiasan dan peribahasa digunakan dengan meluas untuk menyatakan sesuatu secara halus atau tidak berterus terang.
Contoh: Buang air besar, berbulan madu, berbadan dua.
Berikut diturunkan beberapa contoh:
Bahasa Basahan | Bahasa Halus |
Kencing | Buang air kecil |
Berak | Buang air besar |
mengandung/bunting | Berbadan dua |
Kubur | Makam |
Bahasa Kasar
Bahasa yang dhamburkan dengan mengikut perasaan. Kata-kata kesat ialah contoh bahasa kasar seperti bangang, bodoh, tak berotak dan sebagainya.
Ada pihak yang mengatakan perkataan jantan dan betina, jika ditujukan kepada manusia juga tergolong dalam bahasa kasar.
Bagaimanapun, kesannya kepada orang lain adalah subjektif, kerana adakalanya bahasa yang dianggap kasar di kawasan tertentu dianggap gurauan atau bahasa cakap mulut di kawasan yang lain. Misalnya perkataan celaka dianggap kesat di Selangor, tetapi dianggap biasa di Melaka.
Bahasa Kasar | Bahasa Halus/Kiasan Pemanis |
membuta | Tidur |
Mampus | Menghembuskan nafas yang terakhir |
Bunting | Berbadan dua |
bini | Isteri |
Muntah kedarah | Makan |
Ciri-ciri Bahasa Halus dan Bahasa Kasar
Bahasa | Bahasa Halus |
Diucapkan dengan nada suara yang lembut dan rendah | Penggunaan kata kasar dan kesat yang kurang menyenangkan pendengarnya |
Pemilihan diksi memperlihat kan unsur kesopanan | Menggunakan kata sindiran |
Menggunakan tatabahasa yang sempurna | Menggunakan kata ganti nama diri yang kurang sopan |
Menggunakan kata ganti nama diri yang sopan | Tidak menggunakan peraturan nahu yang lengkap |
Menggunakan peribahasa atau kiasan | Penggunaan dalam emosi negatig |
Dialek
Variasi daripada sesuatu bahasa tertentu dan dituturkan oleh sekumpulan masyarakat bahasa tersebut.
Dialek ditentukan oleh faktor geografi dan sosial.
Dialek berbeza dari segi:
a. Sebutan
Contoh: Perkataan `air' disebut dalam pelbagai dialek seperti ayaq, ayo.
b Gaya lagu bahasa
Contoh: Dialek Perak biasanya mempunyai sebutan yang lebih laju daripada Negeri Sembilan.
c. Tatabahasa
Contoh: penggunaaan imbuhan per- dan -kan.
perbesar (dialek Kedah) dan besarkan (dialek Johor).
(d) Kosa kata
Contoh: bewoh (dialek Kelantan bermaksud kenduri)
(e) kata ganti diri
Contoh ambo (dialek Kelantan bermaksud saya)
Hang (dialek utara bermaksud kamu)